بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

ummumuhammadmenulis...

07 August 2012

Syria & Saya


06 August 2012

Aiskrim ツ


02 August 2012

Perjuangan itu Memerlukan Jiwa Yang Tabah


Sahabat, sebuah kisah Iman & Yakin...

»» Penyeksaan demi penyeksaan menimpa jasad Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم & para sahabat HANYA kerana membawa kalimah tauhid "TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH".

◆ Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, saya memetik dari kitab Fiqh Sirah & Biografi Muhammad (dengan bahasa faham saya);

✐► Seorang sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang bernama Khabbab bin Al-A'rat datang menemui Rasulullah yang sedang meletakkan kepalanya berbaring dengan berbantalkan pakaian di bawah lindungan Ka'bah. Ketika itu, beliau & umat Islam mengalami penyeksaan yang amat dahsyat.

✐► S.Khabbab berkata: "Wahai Rasulullah, kenapa tuan tidak berdoa kepada Allah meminta bantuan & kemenangan buat kita?". Khabbab bermaksud dengan kemenangan yang SEGERA.

✐► Lantas Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: "Wahai Khabbab, sesungguhnya mereka yang terdahulu daripada kamu pernah ditanam di dalam lubang & digergaji dari atas kepalanya sehingga terbelah dua badannya. Ada yang disikat dagingnya dengan penyikat besi. Namun semua itu tidak membuatkan mereka berganjak sedikit pun dari agama mereka & tidak mengubah pun pendirian mereka.

✐► Wahai Khabbab, serahkanlah urusan ini kepada Allah. DIA akan memenangkan agama ini sehingga nanti ada yang menunggang kenderaan seorang diri dari San'a ke Hadhramaut. Di saat itu dia tidak lagi takut & gentar kepada sesiapapun melainkan Allah sahaja."

»» Fahamilah kisah ini dengan hatimu...

اللهم صل على سيدنا محمد و على آله وصحبه وسلم
------------------------------------------------

Memanjatkan doa kemenangan buat Islam & kesejahteraan umat itu perlu diteruskan. Namun jangan mengharapkan kesegeraan untuk sebuah kemenangan kerana Allah Maha Mengetahui "waktu" yang tepat untuk kemenangan itu.

31 July 2012

Bertanya Dengan Tujuan Mengingatkan

Anak: Ayah, nak tidur ni kena baca apa?

Ayah: Ish, ayah kan dah ajar.

Anak: Yelah, tapi saya kan masih bayi lagi. Ingatan mana kuat.

Ayah: Penatlah ayah macam ni. Berapa kali ayah nak kena ajar ni baru boleh ingat?

Anak: Ayah kan ayah. Memang tugas ayah mengajar saya sampai saya jadi macam ayah pula. Peace no war ayah ツ".

Ayah: Kamu ni memang pandai ツ. Mai ayah ajar semula. Doa sebelum tidur & doa bangun tidur juga.

=====================================
Doa sebelum tidur;

بسمك اللهم أحيا وأموت
Bismikallahumma ahyaa wa amuutu.
Dengan nama-Mu ya Allah ya Tuhanku, aku hidup & aku mati.

Doa bangkit tidur;

الحمدلله الذي أحيانا بعدما أماتنا وإليه النشور
Alhamdulillahillazi ahyaana ba'dama amaatana wa ilaihin nusyuur.
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami. Kepada-Nya jualah tempat kembali.
======================================

Anak: TQ ayah. Saaaayang ayah. Sebenarnya saya sudah hafaz & amalkan. Saya cuma mahu ingatkan ayah agar tidak lupa untuk amalkan sama. Sekali lagi peace no war ayah ツ".

Ayah tersenyum dengan pukulan si anaknya ツ.

* Benar, doa di atas kebanyakannya tahu namun kadang terlupa untuk istiqamah mengamalkannya (-‿-)ง

29 July 2012

1 Ke Syurga, 1 Ke Neraka... Kenapa?

Sahabat, pernah bertanya soalan seperti ini?

»» Soalan: Kenapa terdapat sebahagian manusia itu kufur dan dimasukkan ke dalam neraka, dan sebahagian lagi beriman kemudian dimasukkan ke dalam syurga? Sedangkan semua mereka itu adalah hamba²
Allah. Di manakah tanda keadilan Allah?
==============================

◆ Soalan ini pernah ditanya oleh Nabi Musa as kepada Allah. Namun pertanyaan itu bukan menunjukkan bahawa Baginda ragu terhadap keadilan Allah. Tidak sama sekali. Hadaf kepada soalan adalah untuk lebih ma'rifah (mengenal) kepada Allah & untuk menenangkan jiwa Baginda sendiri.

Teruskan pembacaannya ya ツ.

•► Allah Yang Maha Bijaksana tidak terus memberikan jawapan bahkan mengarahkan Nabi Musa as agar menanam gandum. Maka Nabi Musa menjalankan perintah Allah itu.

•► Dimulakan dengan membajak hingga menuai. Setelah dituai, gandumnya disimpan & jeraminya dibakar.

•► Lalu Allah berkata: "Wahai Musa, kenapakah gandum engkau simpan & jerami pula engkau bakar? Bukankah kedua²nya itu milikmu? Di manakah keadilanmu wahai Musa?."

•► Dengan pertanyaan Allah itu, maka Nabi Musa pun fahamlah bahawa gandum & jerami itu miliknya. Sudah tentu Baginda berhak lakukan apa sahaja pada apa yang dimilikinya. Baginda juga tahu baik buruk pada barang milikannya itu.

✔ Inilah jawapan kepada soalan di atas. Allah berhak lakukan apa sahaja & DIA Maha Mengetahui atas setiap sesuatu. Beruntunglah yang menjadi gandum & sengsaralah yang menjadi jerami. Inilah hakikat yang kita tidak tahu, tidak boleh kaji.

✉ Namun ingat! Pada "syariat"nya gandum & jerami itu dari benih yang satu -benih yang suci. Boleh dicorak samada mahu menjadi gandum atau mahu menjadi jerami.

~ Sumber rujukan: Aqidah orang² yang beriman (Anwar Helmy Abdul Malik).
==============================

"Menjadi JERAMI bermakna ia tidak berusaha & tidak memilih untuk menjadi GANDUM" - Nauzubillahi min zalik.

>> Kita diberi pilihan oleh Allah untuk memilih samada mahu menjadi seperti gandum atau jerami. Dan Allah juga sentiasa memberi ruang & peluang untuk kita berubah ke arah kebaikan. Muhasabah...

26 July 2012

Dhomir "Aku", "Kami/Kita" & "Tuhanmu"

Sahabat, Ramadhan Kareem ツ.

Saya mahu berkongsi info menarik sepanjang membaca tafsir surah Al-Kahfi ツ".

3 ayat di bawah ini mengazetkan kalam Nabi Khidir as ketika memberi jawapan kepada 3 tindakannya yang dipersoalkan oleh Nabi Musa as. Fokus pada HURUF BESAR, ok ツ.
--------------------------------------------------------------

1. Nabi Musa as menegur perbuatan Nabi Khidir as melubangi perahu.

Nabi Khidir as menjelaskan: "Adapun perahu itu adalah milik orang miskin yang bekerja di laut; AKU bermaksud merosakkannya, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap perahu."
~ Al-Kahfi: 79.

Nabi Khidir menisbahkan "perbuatan merosakkan" itu kepada dirinya -AKU-. Apa yang dapat dipelajari dari ganti nama ini?

>>> ADAB.
- Perbuatan merosakkan itu tidak layak sama sekali dinisbahkan kepada Allah. Oleh itu, Nabi Khidir as menisbahkannya kepada dirinya sendiri.

* Walaupun kita semua beriman bahawa yang baik mahupun buruk itu datangnya daripada Allah. Namun dari sudut adabnya yang baik sahaja datang daripada Alllah. Manakala yang sebaliknya perlu dinisbahkan kepada diri sendiri. Kenapa? Kerana ia soal ADAB. Ia amat penting untuk berada di dalam peribadi Muslim, Allahu Allah.
--------------------------------------------------------------

2. Nabi Musa as berkata Nabi Khidir as telah melakukan suatu perbuatan yang sangat mungkar kerana membunuh jiwa yang tidak bersalah.

Nabi Khidir menjawab: "Dan adapun anak muda itu, kedua orang tuanya mu'min, dan KAMI khuatir kalau dia akan memaksa kedua orang tuanya kepada kesesatan & kekafiran..." - Anda semak ayat seterusnya.
~ Al-Kahfi: 80-81.

Kali ini Nabi Khidir as menggungkapkan kalamnya dengan menggunakan ganti nama KAMI. Siapa KAMI itu?

>>> KAMI di sini ialah Nabi Khidir as & Nabi Musa as. Nabi Khidir as telah memasukkan Nabi Musa as ke dalam golongan orang yang mempunyai rasa khuatir & bimbang yang sama setelah mengetahui hal yang sebenarnya.
--------------------------------------------------------------

3. Nabi Musa as mengesyorkan agar diminta upah atas usaha Nabi Khidir as membangunkan dinding yang runtuh.

Nabi Khidir as memberitahu: "Dan adapun dinding rumah itu adalah milik 2 orang anak yatim di kota itu, yang di bawahnya tersimpan harta bagi mereka berdua dan ayah mereka seorang yang soleh. Maka TUHANMU menghendaki agar keduanya sampai dewasa & mereka mengeluarkan simpanan itu sebagai rahmat daripada Tuhanmu..."
~ Al-Kahfi: 82.

Nabi Khidir as berkata TUHANmu.

>>> Nabi Khidir as menjelaskan apa yang dilakukannya itu adalah perintah daripada Allah & itu kehendak-Nya. Jadi apakah tegar Baginda meminta upah, sedangkan itu adalah kehendak Allah Yang Maha Bijaksana!

Sumber rujukan: Tafsir Al-Azhar oleh Prof Hamka.
--------------------------------------------------------------

Sahabat, kita dapat 3 pelajaran;

1. Adab dengan Allah.
2. Menganggap orang lain juga punyai hati & perasaan yang baik.
3. Tidak mementingkan upah melebihi tanggungjawab yang ada.
~ Wa Allahu a'lam.

♥ Al-Quran memang mu'jizat yang tidak pernah dapat diragukan. Bacalah...ツ.

25 July 2012

Anak Kepada 2 Orang Yang Disembelih

Kisah 1.

Diceritakan di dalam surah As-Sofaat ayat 100-102 kisah Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa kepada Allah memohon seorang anak daripada kalangan orang² yang soleh. Maka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nabi
Ismail عليه السلام.

Setelah Nabi Ismail عليه السلام dewasa, Nabi Ibrahim عليه السلام mendapat mimpi menyembelih anaknya itu dan tahukah apa jawapan Nabi Ismail?

•••► "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu. InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk di kalangan orang² yang sabar."

Akhirnya Nabi Ismail عليه السلام ditukarkan kepada qibasy.
==============================

Kisah 2.

Abdul Mutolib pernah bernazar jika beliau dikurniakan 10 orang anak lelaki, beliau akan menyembelih salah seorang daripadanya. Ternyata benar nazar beliau. Beliau mendapat 10 orang anak lelaki yang kuat & gagah.

Janji mesti ditepati walaupun dihalang oleh orang Quraisy ketika itu. Undian penyembelihan jatuh kepada anak bongsu beliau yang bernama Abdullah; Ayahanda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Walaupun ujian ini sangat berat, namun Abdullah tetap redha & sabar.

Akhirnya, Abdullah ditukarkan kepada 100 ekor unta.
==============================

◆ 2 kisah ini ialah kisah kepada Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم. Baginda pernah berkata: "Aku ini anak kepada 2 orang yang hendak disembelih."

◆ Yang pertama Nabi Ismail عليه السلام & yang kedua Sayyidina Abdullah; Ayahanda Nabi صلى الله عليه والسلام sendiri.

Sahabat, jom ♫ salawat ♫ salawat ♫ salawat ツ".

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

24 July 2012

Ucap "ALHAMDULILLAH" Atas Kematian Musuh Islam


Bagi saya orang² zalim yang membunuh orang² Islam ini layak kita namakan mereka musuh² Islam. Oleh itu, jika mereka meninggal dunia kita boleh ucap SYUKUR di atas kematian mereka.

✐► Di dalam kitab Al-Azkar (m/s: 297) Imam An-Nawa
wi mengazetkan 1 riwayat di mana Sayyidina Ibn Masu'd datang memaklumkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم bahawa Abu Jahal sudah mati.

•••► Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyambutnya dengan berkata: "الحمدلله (segala puji bagi Allah) yang telah membantu hamba-Nya & memuliakan Agama-Nya."

»» Oleh itu, saya ingatkan diri saya & sahabat agar TIDAK mengotorkan lidah kita yang lembut ini dengan memaki hamun & mengeluarkan kata² kesat kepada zi penzalim. RUGI & tak berbaloi. Kalau tidak mampu doakan yang baik, maka diam.

»» Si penzalim tetap dengan kezalimannya, syaitan pula ketawa terbahak² & kita pula dapat dosa atas kata² kotornista berlapikkan tunjuk ajar nafsu itu.

◆ Jika bencikan kezaliman, DO SOMETHING FOR ISLAM. Bagaimana? Semoga Allah memberimu petunjuk. Moga².

23 July 2012

Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama'


Sahabat, saya ada info pengetahuan am untuk dikongsi bersama sempena Ramadhan Kareem ツ".

Antara TARGET RAMADHAN saya kali ini ialah khatamkan buku "Persoalan Khilafiyyah..." oleh Ustaz Muhadir bin Hj Joll. Saya namakan buku ini sebagai "NOTA EMAS" kerana nilai ilmunya yang mantap. Soalan demi soalan dijawab dengan hujah yang "kemah keming" kata orang Terengganu ツ.

Saya bawakan di sini 3 contoh mengikut bahasa faham saya. Jika anda 'M' untuk membaca kesemuanya, maka bolehlah baca salah satunya dari 3 contoh di bawah. Kemudian baca KESIMPULAN di akhirnya nanti, ok ツ.
>>> Kepada yang sukakan info ilmiah...
---------------------------------------------------

1. Kisah Sayyidina Bilal رضي الله عنه.

•••► Ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم diIsra'Mi'rajkan, Baginda telah mendengar tapak kasut S.Bilal di dalam syurga. Apabila ditanya apakah amalan yang dilakukan oleh S.Bilal. Beliau memberitahu bahawa beliau sentiasa mengamalkan solat sunat mutlaq 2 rakaat selepas berwudhu' & setiap kali wudhu'nya terbatal.

✐► Rasulullah صلى الله عليه وسلم meredhai amalan S.Bilal tanpa membida'ahkannya walaupun amalan itu tidak diajar oleh Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri.
---------------------------------------------------

2. Kisah Sayyidina Khubaib رضي الله عنه.

•••► Ketika S.Khubaib dikeluarkan oleh kaum kafir untuk dibunuh, beliau berkata: "Biarkan aku solat 2 rakaat terlebih dahulu (sebelum kalian membunuhku)."

✐► Kisah ini berlaku ketika Baginda صلى الله عليه وسلم masih hidup. Abu Hurairah yang meriwayatkan kisah di atas berkata: "Beliau (Khubaib) adalah orang PERTAMA yang mengerjakan solat 2 rakaat ketika hendak dibunuh." Ia digazetkan di dalam Sohih Al-Bukhari.
---------------------------------------------------

3. Kisah Sayyidina Rifa'ah رضي الله عنه.

•••► Di dalam solat Maghrib berjemaah bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم, S.Rifa'ah telah menambah doa yang tidak pernah diajar oleh Baginda.

Ketika Baginda membaca سمع الله لمن حمده waktu i'tidal, kemudian S.Rifa'ah membaca ربنا لك الحمد حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه.

Setelah selesai solat, Baginda bertanya siapakah yang telah membaca pujian itu, lalu Baginda berkata: "Sesungguhnya aku telah melihat 30 lebih para malaikat datang berebut, berlumba siapa di antara mereka yang paling awal mencatat pahala pujian tersebut." Ini juga hadis riwayat Imam Al-Bukhari.

✐► Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak mencela perbuatan sahabatnya yang menambah sesuatu doa DI DALAM SOLAT padahal ia tidak pernah diajar oleh Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم.
---------------------------------------------------

KESIMPULANNYA;

✔~ Ijtihad "menetapkan" waktu bagi sesuatu ibadah itu diperbolehkan... (komentar Al-Hafidz Ibn Hajar Al-A'sqalani -m/s: 48).

✔~ "Boleh mengADAkan" doa di dalam solat selain dari apa yang diajar oleh Baginda صلى الله عليه وسلم selama mana ia tidak bercanggah dengan apa yang diterima daripada Baginda... (komentar Al-Hafidz Ibn Hajar Al-A'sqalani -m/s: 50).

✔~ Banyak riwayat yang menunjukkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم "membenarkan" adanya INISIATIF baru yang ada kaitan dengan doa & bacaan walaupun ianya tidak diajar oleh Baginda sendiri selama mana ia tidak terkeluar dari batasan syariat... (komentar Ustaz Muhadir bin Hj Joll -m/s: 60).

Ustaz Muhadir mengulas lagi: KEBENARAN INI BUKAN KHUSUS KEPADA PARA SAHABAT SAHAJA, BAHKAN IANYA TERBUKA KEPADA PARA ULAMA' YANG BENAR² AHLI DI DALAM BIDANGNYA.

Adapun orang awam macam kita, tak payah nak memandai² ya. Ikut ulama' je, kher insyaAllah. Kerana mereka ikut Nabi صلى الله عليه وسلم. Jamil jiddan ツ.
---------------------------------------------------

Alhamdulillah THE END (◕‿◕). Berpeluh ke baca? Eleh... :p

~ Semoga bermanfaat & anda harus miliki "NOTA EMAS" ini (-‿-)ง

22 July 2012

Dilema Rakaat Tarawih


Sikit, banyak? Banyak, sikit? Ramadhan Kareem sahabatツ".

A: Malam ni kau nak solat tarawih di mana?

B: InsyaAllah di Masjid S.Ali kw.

A: Aku ikut cop ツ.

B: Jom ツ.

A: Oh ya, imamnya ok? Suaranya merdu tak? Berapa rakaat di situ, 8?

B: Bagi aku alhamduliLLAH kerana Imam itu seorang yang alim dengan tugasnya sebagai imam. Suaranya pula merdu kerana tajwidnya yang bagus & di situ 20 rakaat tarawih + 3 rakaat witr ツ.

A: Alamak! Kau nak solat 20 rakaat ke?

B: InsyaAllah. Apasal muka kau lain macam je ni?

A: Banyak tu 20 rakaat. 8 sudah ler.

B: Banyak ler sebab kau nampak angka "20". Cuba kau fokus pada rahmat & ganjaran Allah di sebalik angka 20 tu. Baru kau akan rasa sikitnyaaaaaaaaa 20 ツ.

A: Owh, betul² ◕‿◕.
-------------------------------

Sahabat, terpulang nak Solat Tarawih 8 atau 20 rakaat. Yang penting •••► TUNAIKAN SOLAT TARAWIH.

Adapun dialog di atas hanya sekadar membangkitkan semangat diri sendiri untuk berusaha ke arah itu. Dilema diri sendiri tu ツ.

21 July 2012

4 Zikir Mudah sepanjang Ramadhan


 
Sahabat, jangan lupa 4 ZIKIR MUDAH ini;

✔ 1. Kalimah tauhid.

أشهد أن لا إله إلا الله
Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah.

✔ 2. Istighfar.

أستغفر الله
Aku mohon keampunan-Mu ya Allah.

✔ 3. Mohon syurga.

أسألك الجنة
As alukal jannah
Aku mohon kepada-Mu syurga.

✔ 4. Dijauhkan dari neraka.

وأعوذبك من النار
Wa a'uzubika minan naar.
Dan aku berlindung dengan-Mu dari neraka.

Mohon maaf kerana tak sempat cari hadis tentangnya, namun ini saya temuinya dari majlis ilmu. InsyaAllah ada masa, saya cari hadisnya & saya linkkan di sini. InsyaAllah kher ツ.

----------------------------------------------------

✐► Satu hal yang merugikan apabila tidak "memperbanyakkan berdoa" ketika berpuasa & berbuka.

20 July 2012

Sikap Optimis Rasulullah shollaAllahu a'laihi wa sallam


Jumu'ah Mubarakah -Jumaat terakhir Sya'ban ツ".

Kali ini saya mahu berkongsi kisah tentang "sikap OPTIMIS Rasulullah صلى الله عليه وسلم terhadap kemenangan Islam".
---------------------------------------------------

Dalam perjalanan hijrah ke Kota Madinah, Baginda telah dikejar oleh Suraqah bin Malik yang masih belum Islam ketika itu. Suraqah ini seorang yang pakar di dalam menunggang kuda & tidak pernah jatuh.

Namun di dalam percubaannya untuk membunuh Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau telah terjatuh dari kudanya sebanyak 3 kali. Suraqah yang pada awalnya mahu membunuh Baginda صلى الله عليه وسلم, akhirnya meminta keamanan daripada Baginda Nabi.

Tahukah apa yang ditawarkan oleh Rasulullahصلى الله عليه وسلم kepada Suraqah agar dibiarkan Baginda berhijrah?

Baginda Nabi menawarkan gelang Kisra milik Raja Parsi di mana Kerajaan Parsi ketika itu merupakan kerajaan paling besar. Padahal Baginda Nabi sedang diburu, akan tetapi telah menawarkan perkara yang sangat besar dengan penuh yakin.

Kenapa? Kerana Nabi صلى الله عليه وسلم sedang melakukan kerja² Islam & ISLAM PASTI MENANG, itulah janji Allah.

✉>>> Apa yang dapat kita belajar ialah "ISLAM PASTI MENANG". Teruskan BERDOA buat saudara² se-Islam kita di seluruh dunia yang sedang ditimpa musibah itu samada beroleh KEMENANGAN atau MATI SYAHID.
--------------------------------------------------

Sahabat, jangan pernah melepaskan peluang untuk bersalawat sebanyak mungkin pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu Hari ツ.

Jom salawat ♫ salawat ♫ salawat (◕‿◕).

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

19 July 2012

Plan Ramadhan 1433H


Ramadhan semakin hampir. Sangat² hampir. Semoga kita terpilih menjalani ibadah puasa kali ini dengan sebaik mungkin, amin.

Peringatan bersama secara ringkas;

◆ 1. Niat.

Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta'ala.
---------------------------------------------------------

◆ 2. Bulan Ramadhan bulan;

•-• Al-Quran ---> Khatam sekurang²nya 1 kali.
•-• Sedekah ---> Hulurkan bantuan mengikut kemampuan.
•-• Qiamulail ---> Bangun malam walaupun hanya 2 rakaat.
•-• Kesabaran ---> Allah bersama dengan orang yang sabar.
•-• Ibadah ---> Semangat untuk beramal seperti berzikir, bersalawat dll.
---------------------------------------------------------

◆ 3. Solat fardhu berjemaah.

◆ 4. Solat sunat tarawih samada 8 atau 20 rakaat (jangan bergaduh, yang penting buat).

◆ 5. Sahur & berbuka. Ingat! Bulan ini bukan bulan membazir di Bazar Ramadhan.
---------------------------------------------------------

◆ 6. Jika yang mampu, tunaikan umrah kerana pahalanya sangat besar.

1 umrah pada bulan ini = 1 haji bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم. i

◆ 7. Perhebatkan amalan baik di bulan ini & berazam agar ianya dapat diteruskan sehingga bertemu Ramadhan yang akan datang.

◆ 8. Niatkan segala kerja dunia seperti membasuh, mengemas rumah, keluar bekerja dll menjadi kerja akhirat dengan niatkannya sebagai ibadah.

Rujukan: Indahnya Hidup Bersyariat oleh Ust Ismail Kamus dll.
-------------------------------------------------------

~ Selamat beramal dengan penuh keimanan & keikhlasan (-‿-)ง

18 July 2012

Menolong Insan Yang Tidak Berupaya


Alhamdulillah, saya telah diingatkan tentang ADAB & AKHLAK ツ.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: "Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian & yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya."
~ HR Imam Tirmidzi rahimahullah.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
-----------------------------------------------------------

✐► Kadang² akan ada nasihat bagi foto seperti ini;

"Jika mahu mencari pasangan hidup, maka carilah insan seperti ini."

✐► Namun nasihat daripada diri saya pula adalah seperti ini:

"Jika mahu menjadi manusia yang hidup, maka contohilah insan seperti ini. Jiwanya hidup kerana diamalkan akhlak & sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم".

•••► Ayuh, jangan harap orang lain berakhlak seperti ini. Akan tetapi ANDALAH yang WAJIB berakhlak seperti ini.
Hakaza banyaknya kalimah "seperti ini" - dc ツ.

Semoga Islam kelihatan indah dari dalam diri kita sendiri, amin.

17 July 2012

Teringat Zaman Kanak-Kanak


Allahu Allah, saya pasti akan tersenyum apabila melihat foto ini. Automatically juga mengingatkan saya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang juga kasih kepada kanak². Sehingga Baginda berpesan kepada kita bahawa bukan daripada golongan Baginda صلى الله عليه وسلم orang² yang tidak mengasihi kanak², Allahu Allah ツ.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
------------------------------------------------------------

Kepada sahabat yang bergelar ayah & ibu, bermainlah sekali sekala permainan anak². Main rumah² ke bersama mereka. Allahu Allah, ia akan menjadi kenangan indah yang tidak akan dapat dilupakan oleh mereka. Betul ツ.

Kerana itu adalah pengalaman saya, sehingga kini saya tidak dapat lupakan kenangan manis apabila Allahyarham Tokki & Abah saya turut serta mahu bermain badminton dengan saya. Sangat seronok saat itu ツ.

Dulu saya & adik perempuan kedua saya pernah ikuti taekwando di sekolah rendah ツ. Abah mencabar kami. Apa lagi, dengan bangga kami tunjuk ketangkasan kami di dalam taekwando. Haha Abah kami hanya pegang kepala kami je sehingga tumbukan kami tak sampai kepadanya. Kami menangis geram & beliau ketawa ツ.

Semoga kami adik-beradik tetap berusaha menjadi anak² yang soleh, penyejuk mata hati kedua ibubapa kami, amin. Mudah²an anda pun demikian.

♥ Kita doakan semoga ibubapa kita masing² mendapat keampunan Allah, disayangi Allah dunia & akhirat, amin.

09 July 2012

Saya Naik Kuda ツ"

Sahabat, pagi tadi saya ... saya .... saya ... ok² saya gitau ツ.

Dengan ini saya meriuhkan 1FB (dulu kita guna riuh 1 kampung hihi, sekarang 1FB) bahawa pagi tadi saya pergi menunggang kuda. Saya pergi dengan seorang kakak fillah. Alhamdulillah, saaaaaaaaaaaangat best ツ. Terasa berada di zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم la pulak. Terbayang, Allahu Allah ツ.

Pada awalnya ia buli saya. Kata pel
atih kerana ia dapat rasa saya tidak tahu. Berlagak tullah :p Saya kata walk & kick perutnya dia tak nak bergerak pun. Saya gosok & cakap baik² dengannya, baru ia ok. Then, buat hal yang sama. Asyik berhenti. Maklumlah kali pertama tunggang sendirian, tapi masyaAllah sangat best ツ.

Kemudian saya diberi rotan kecil, saya pegang je ia terus taat pada saya. Haish, saya cakap kat ia "kenapa awak suka saya buli awak? Kan baik kalau kita jadi kawan. Tak perlu saya pegang rotan ini." Apakan daya ia tak faham ツ. Ia memang berlagak, rupanya kuda jantan ツ.

Pagi tadi hanya belajar jalan² sahaja, biasakan diri untuk handle arah jalan dengan memegang talinya & cara kick perutnya dengan kaki. Alhamdulillah, lulus ツ. Akan datang insyaAllah nak belajar tungang kuda dengan cara berlari pulak.

Saya syorkan anda pun turut sama amalkan sunnah ini. Itu yang sengaja diriuhkan ツ.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: "Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda)."
~ Riwayat Imam Muslim رحمه الله.

Jom sahabat ツ.

26 June 2012

Cari Rezeki Halal



Sahabat, saya bukan nak berceramah, tapi nak cakap sikiiiiiiiiiit je -‿-.

◆ Saya nak ingatkan jika awak mahu cari kerja, maka carilah kerja yang HALAL di sisi syara'. Kerana rezeki yang halal itu dapat menyebabkan awak selamat dunia, selaaaaamat akhirat ツ".

Cuba bayangkan...

◆ Jika seseorang bekerja sebagai pencuri, mana ada aman hidupnya. Asal nampak polis je, berdebar jantungnya walaupun dia sudah kaya ツ.

Cuba faham...

◆ Pernah dengar tak kaum Khuza'ah? Ya, kaum Khuza'ah inilah yang merampas bumi Mekah dari kaum Jurhum (penduduk tempatan) di situ. Walaupun lebih 500 tahun memerintah Mekah sekalipun, mereka tetap digelar perampas. Betul kan? Alhamdulillah akhirnya Qusai bin Kilab; salah seorang moyang Baginda صلى الله عليه وسلم dapat mengambil kembali hak mereka & memerintah Mekah dengan aman & bijaksana.

Cuba iyakan... <-- (tak paksa, hanya per'cuba'an ◕‿◕)

◆ Rezeki yang halal apabila sedikit ia mencukupi. Kalau tak cukup pun, tidak sampai memaksa kita membuat sesuatu yang dilarang Allah. Dan apabila banyak rezeki itu, ia akan dapat memberi manfaat kepada orang lain pula. Oleh itu, dapatkan rezeki yang halal. Bahagia 【ツ】

~ Aja² faiti (-‿-)ง

Foto: Si Tekun yang sedang khusyu' menjahit baju tempahan hari Raya walaupun puasa belum menjelang lagi. Dunia oh dunia ツ.


01 May 2012

Jadilah pendakwah seperti doktor ツ.

  Warkah buat pendakwah.
❀ ܓ Moto seorang pendakwah---> "Kami seperti doktor, bukan seperti penghukum."

♥ DAKWAH manusia mengenal Allah, mentaati-Nya & mengikuti sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم itu adalah TUGAS SEMUA MANUSIA BERAKAL & MUSLIM.

♥ Dakwahlah setakat kemampuanmu, setakat ilmumu & setaraf dengan orang yang diseru olehmu. Namun jangan dilupa untuk sentiasa UPGRADE kualiti diri & dakwah dengan BELAJAR menuntut ILMU AKHIRAT tanpa jemu.

♥ Pandanglah kawanmu yang diseru itu seperti pandangan seorang doktor kepada pesakitnya bukan pandangan penghukum terhadap penjenayah.

♥ Doktor akan berusaha habis²an menyelamatkan pesakit. Manakala penghukum akan cuba sedaya upaya untuk memasukkan penjenayah ke penjara.

♥ Membetulkan kawanmu yang salah itu dengan cara lembut. Walaupun kadangkala perlukan juga ketegasan namun biarlah ketegasan yang tidak keras tapi menampakkan jati diri & pendirian. Pandanglah dia sebagai kawanmu bukan sebagai musuhmu.

ஜ۩۞۩ஜ Jadilah seperti seorang doktor. Setiap kali dia menyelamatkan manusia, manusia itu akan berterima kasih & mendoakannya dengan ikhlas ツ.

♥ ܓ Uhibbukum fillah wahai doktor seluruh dunia ツ. Saya antara insan yang pernah diselamatkanmu. Semoga Allah menjadikanmu doktor muslim yang dicintai Allah & Rasul-Nya, amin.

Zikir Sayyidah Fatimah ra...

Sayyidah Fatimah diajar oleh Ayahandanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم zikir untuk diamalkan sebelum tidur. Ia lebih baik dari mendapatkan seorang khadim & segala-galanya.
 
 33 kali -----> سُبْحَانَ اللهِ 

 33 kali -----> الحَمْدُ للهِ

 34 kali -----> اللهُ أَكْبَرُ

Zikir ini masyhur namun berapa ramaikah yang mengamalkannya? Muhasabah diri sendiri...

Atas nama Islam, kita bersaudara...

Siapapun mereka atas nama Islam, maka kita adalah bersaudara. Di dalam Islam kita dianjurkan saling bantu-membantu & berkasih sayang. Apatah lagi terhadap orang² miskin.

Berkawan dengan mereka menjadikan diri ini bersyukur, tidak angkuh, hati tenang, belajar sifat tawadhu' & tidak tamak kepada dunia. Jiwa sihat.

Teringat kalam Ust Sufian di Bogor bahawa orang yang qana'ah (cukup dengan apa yang ada) & tidak berhajat melebihi keperluan hidupnya itu adalah orang yang kaya. Manakala orang kaya yang masih mahu kaya itu adalah orang yang miskin. Kalam ahli sufi .

Wahai orang kaya, sudahkah kamu berkongsi kekayaanmu di tempat sebenar? Zakat sudah kau tunaikan? Sedekah sudah kau hulurkan? Hadiah sudah kau carikan? Mereka saudaramu, jangan biarkan mereka mati kelaparan disebabkan kebakhilanmu atau kecuaianmu di dalam melaksanakan amanahmu sebagai orang kaya. Saling mengingatkan.

30 April 2012

SubhanaAllah, indahnya langit ciptaan-Mu...

Sejauh-jauh mata memandang,
Sedalam-dalam hati merasakan,
Hanya setitik debu yang tertuang,
Dalam syair pujian...

Lepas hati memandang laut-Mu,
Terheran diri pada langit-Mu,
Berjuta kata tak cukup untuk,
Melukis indah-Mu...

* Tafakkur by Opick.

Hanya Allah sahaja yang menjagamu. Ingat wahai diri...

Doa ketika melihat langit;

 رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً، سُبْحَانَكَ فَفِنَا عَذَابَ النَّارِ
 Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakannya sia-sia, Maha Suci Engkau ya Allah, jauhkanlah kami dari azab neraka.
~ Al-Imran: 191.
---------------------------------------------------------------------------------------

Cerita tentang langit & bintangnya...

Kita memandang langit, di mata zahirnya ia tampak biru. Namun asal warna langit itu merah. Disebabkan lapisan maka ia kelihatan seperti biru. Harun Yahya mendakwanya merah berdasarkan ayat ini- "Maka apabila langit terbelah dan ia menjadi mawar merah (dan merahnya) seperti (merahnya) minyak yang mendidih." Arrahman:37. Ia terbukti kebenarannya apabila disingkap oleh satelit iaitu berwarna merah seperti sekuntum bunga mawar.

Tugas bintang tiada yang keempat:
1. Menghiasi langit. SubhanaAllah indahnya:-)
2. Menjadi petunjuk kepada orang yang bermusafir. Macam kompaslah kan.
3. Merejam syaitan yang mencuri maklumat di langit. Yang kita duk sebut tahi bintang.
Haaa, utk tilik nasib maka bintang2 di langit tidak meredhainya. Ia adalah satu pencabulan. Fahamilah maksud tiada yang keempat...
...-(Buku catatan sy tulis pendapat Imam Qatadah- wa Allahu a'lam)

Salam buat Rasulullah setiap kali masuk & keluar masjid...


Hadis daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: “Apabila salah seorang kamu masuk ke dalam masjid maka ucapkanlah salam  buat Nabi صلى الله عليه وسلم dan katakanlah: 

    اللهم افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
(Ya Allah ya Tuhanku bukakanlah pintu² rahmat-Mu buatku). 

Dan apabila kamu keluar, maka ucapkanlah salam buat Nabi صلى الله عليه وسلم dan katakanlah: 

اللهم اعْصِمْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
(Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari syaitan yang direjam).

~ Hadis sohih riwayat Imam Ibn Majah rahimahullah.

••Perintah memberi salam kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم di sini bukan hanya untuk Masjid Nabawi sahaja bahkan disunatkan untuk mengucapkannya di semua masjid yang dimasuki.

Sayyidatuna Fatimah ra menceritakan bagaimana Baginda صلى الله عليه وسلم masuk ke dalam masjid dan keluar darinya.

Ketika masuk;

بسم الله والسلامُ على رسولِ اللهِ اللهم اغفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَافْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Dengan nama Allah, salam ke atas Rasulillah. Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosa²ku dan bukakanlah pintu² rahmat-Mu buatku.

Ketika keluar;

بسم الله والسلامُ على رسولِ اللهِ اللهم اغفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَافْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ فَضْلِكَ
Dengan nama Allah, salam ke atas Rasulillah. Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosa²ku dan bukakanlah pintu² kelebihan-Mu buatku.

Hadis riwayat Imam Ibn Majah rahimahullah.

* Catatan talaqqi di Bogor Disember 271211 – baca kitab hadis Sohih Ibn Majah bersama Ustaz Sufian.

Yang paling...di kalangan para sahabat


Ketika talaqqi di Bogor, di dalam kelas saya sempat menulis secara ringkas (berdasarkan hadis² riwayat Imam Tirmidzi) tentang kelebihan sebahagian para sahabat. Di sini saya senaraikannya untuk pengetahuan umum. Mahu tahu lanjut sila buka kitab hadis .

Yang paling penyayang kepada umat ••> Sayyiduna Abu Bakr.

Yang paling syadid di dalam memelihara agama Allah ••> Sayyiduna Umar.

Yang paling pemalu ••> Sayyiduna Uthman.

Yang paling tepat mengeluarkan hukum ••> Sayyiduna Ali.

Yang paling bagus bacaan Al-Quran ••> Sayyiduna Ubai bin Ka’ab.

Yang paling alim halal haram ••> Sayyiduna Mua’z bin Jabal.

Yang paling alim ilmu faraidh ••> Sayyiduna Zaid bin Thabit.

Yang paling amanah ••> Sayyiduna Ubaidah bin Jarrah.

~ Wahai diri, jangan lupa untuk sentiasa berselawat .
اللهم صل على سيدنا محمد  وعلى آله وصحبه وسلم

28 April 2012

Jom ke taman syurga ツ

Menghadiri majlis zikir SAMA tuntutannya dengan suruhan agar berzikir. Majlis yang membesarkan nama Allah, menceritakan tentang perintah & larangan-Nya. Majlis seperti ini diumpamakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلمsebagai taman syurga. Allahu Allah, indahnya .

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Anas bin Malik ra bahawasanya Rasulullah صلى لله عليه وسلم berkata: “Jika kamu melalui taman² syurga, maka singgahlah/bersenang² di dalamnya.” Sahabat bertanya: “Di manakah terdapatnya taman² syurga itu di dunia ini?” Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: “Taman² syurga itu terdapat di dalam majlis² zikir.”

Apakah kelebihan yang ada di dalam majlis² zikir/ilmu ini?

Saya himpunkannya di sini tanpa menyebut hadis² yang saya ambil darinya. Antaranya;

Para MALAIKAT akan mengelilingi bulatan majlis tersebut.
Mereka yang hadir majlis itu akan diselubungi dengan RAHMAT ALLAH, tiada siapapun yang akan mendapat kecelakaan apabila duduk bersama mereka.
Allah akan MEMBANGGA²KAN orang yang hadir itu di hadapan para malaikat-Nya.
Diturunkan ke atas mereka itu RAHMAT & KETENANGAN.

Zikir itu bukan sekadar bertasbih, bertahmid dll bahkan semua amalan yang berupa ketaatan kepada Allah itu dikira sebagai zikir.

Jom ke majlis zikir, salawat & ilmu . Imam Nawawi mengingatkan kita agar berusaha untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari walaupun satu kali sahaja sehingga dikira termasuk di dalam kumpulan orang yang mengamalkan ilmu itu. Amalkan sekadar mampu kerana amalan sunnah itu sangat banyak.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberikan motivasi yang sangat baik: "Jika aku menyuruh kalian melakukan sesuatu amalan (bukan amalan fardhu), hendaklah kalian lakukan apa yang kalian mampu." 
~ Riwayat Imam Al-Bukhari & Muslim rahimahumaAllah.

Sumber: Kitab Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi rahimahullah.