Kuala Lumpur Berselawat 1

Nota 1: Maksud Zikir dan Syukur dalam Surah Al-Baqarah : 152

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلَا تَكْفُرُوْنَ
Maksud ayat: Maka hendaklah kalian mengingati-Ku, nescaya Aku juga akan mengingati kalian, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kalian ingkar kepada-Ku.

Syeikh Dr. Mahmoud Marghlani (dari Madinah Al Munawwarah) menjelaskan bahawa اذْكُرُونِي itu bermaksud zikir dan ingat kepada Allah, manakala اشْكُرُواْ لِي pula ialah bersyukur di atas ni'mat anugerah Allah dengan mengutuskan Muhammad saw ke dunia ini.

- Oleh itu, kita perlu sedar bahawa datangnya Rasul saw kepada kita merupakan ni'mat yang diperintahkan Allah untuk kita mensyukurinya. Allahu Allah...

Nota 2: Nama Muhammad disebut 2 kali di dalam Al-Quran.

1. Surah Al-Ahzab: 40

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيماً
Maksud ayat: Bukanlah Muhammad itu merupakan bapa dari seseorang di antara kalian, akan tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
2. Surah Al-Fath: 29
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّآءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ
Maksud ayat: Muhammad itu utusan Allah, orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka.

Nota 3: Mimpi yang indah.

Saya amat teruja apabila Syeikh Dr. Mahmoud menceritakan perihal mimpi seorang alim dari Universiti Al Azhar Mesir. Orang alim itu telah menceritakan mimpinya itu di dalam bukunya (saya tak sempat mencatit tajuk buku tersebut).

Syeikh menceritakan bahawa orang alim itu telah bermimpi melihat Rasul saw di dalam satu majlis yang dihadiri oleh para auliya'. Di dalam majlis tersebut, tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki. Kehadiran lelaki itu membuatkan Rasul saw berdiri. Lantas lelaki itu datang dan bersalaman dengan Baginda saw. Dan Baginda saw mencium dahinya. Ini membuatkan beliau tertanya siapa lelaki ini dan apakah keistimewaannya sehingga diperlakukan Rasul saw dengan sebegitu rupa indahnya. Allahu Allah...

Syeikh menyambung ceritanya lagi. Melihat keadaan orang alim itu yang kehairanan, Rasul saw pun memperkenalkan kepadanya bahawa lelaki itu adalah Muhammad Soleh. Dia orang Maghribi. Dia seorang yang suka berselawat, suka mengajak orang lain agar sama-sama berselawat, orang yang kuat mempertahankan dan menjaga hadis-hadis Nabi dan orang yang kuat mendorong manusia agar menziarahi Baginda saw.

- Kerana itu semua dia dimuliakan oleh Rasul saw.


اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله

To be continued...

Majlis KL BERSELAWAT ini telah diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC pada hari Ahad 6 Syaaban 1431H bersamaan 18 Julai 2010.

Popular posts from this blog

Waktu Fadhilah Di Awal Waktu Solat

4 Zikir Mudah sepanjang Ramadhan