Dhomir "Aku", "Kami/Kita" & "Tuhanmu"

Sahabat, Ramadhan Kareem ツ.

Saya mahu berkongsi info menarik sepanjang membaca tafsir surah Al-Kahfi ツ".

3 ayat di bawah ini mengazetkan kalam Nabi Khidir as ketika memberi jawapan kepada 3 tindakannya yang dipersoalkan oleh Nabi Musa as. Fokus pada HURUF BESAR, ok ツ.
--------------------------------------------------------------

1. Nabi Musa as menegur perbuatan Nabi Khidir as melubangi perahu.

Nabi Khidir as menjelaskan: "Adapun perahu itu adalah milik orang miskin yang bekerja di laut; AKU bermaksud merosakkannya, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap perahu."
~ Al-Kahfi: 79.

Nabi Khidir menisbahkan "perbuatan merosakkan" itu kepada dirinya -AKU-. Apa yang dapat dipelajari dari ganti nama ini?

>>> ADAB.
- Perbuatan merosakkan itu tidak layak sama sekali dinisbahkan kepada Allah. Oleh itu, Nabi Khidir as menisbahkannya kepada dirinya sendiri.

* Walaupun kita semua beriman bahawa yang baik mahupun buruk itu datangnya daripada Allah. Namun dari sudut adabnya yang baik sahaja datang daripada Alllah. Manakala yang sebaliknya perlu dinisbahkan kepada diri sendiri. Kenapa? Kerana ia soal ADAB. Ia amat penting untuk berada di dalam peribadi Muslim, Allahu Allah.
--------------------------------------------------------------

2. Nabi Musa as berkata Nabi Khidir as telah melakukan suatu perbuatan yang sangat mungkar kerana membunuh jiwa yang tidak bersalah.

Nabi Khidir menjawab: "Dan adapun anak muda itu, kedua orang tuanya mu'min, dan KAMI khuatir kalau dia akan memaksa kedua orang tuanya kepada kesesatan & kekafiran..." - Anda semak ayat seterusnya.
~ Al-Kahfi: 80-81.

Kali ini Nabi Khidir as menggungkapkan kalamnya dengan menggunakan ganti nama KAMI. Siapa KAMI itu?

>>> KAMI di sini ialah Nabi Khidir as & Nabi Musa as. Nabi Khidir as telah memasukkan Nabi Musa as ke dalam golongan orang yang mempunyai rasa khuatir & bimbang yang sama setelah mengetahui hal yang sebenarnya.
--------------------------------------------------------------

3. Nabi Musa as mengesyorkan agar diminta upah atas usaha Nabi Khidir as membangunkan dinding yang runtuh.

Nabi Khidir as memberitahu: "Dan adapun dinding rumah itu adalah milik 2 orang anak yatim di kota itu, yang di bawahnya tersimpan harta bagi mereka berdua dan ayah mereka seorang yang soleh. Maka TUHANMU menghendaki agar keduanya sampai dewasa & mereka mengeluarkan simpanan itu sebagai rahmat daripada Tuhanmu..."
~ Al-Kahfi: 82.

Nabi Khidir as berkata TUHANmu.

>>> Nabi Khidir as menjelaskan apa yang dilakukannya itu adalah perintah daripada Allah & itu kehendak-Nya. Jadi apakah tegar Baginda meminta upah, sedangkan itu adalah kehendak Allah Yang Maha Bijaksana!

Sumber rujukan: Tafsir Al-Azhar oleh Prof Hamka.
--------------------------------------------------------------

Sahabat, kita dapat 3 pelajaran;

1. Adab dengan Allah.
2. Menganggap orang lain juga punyai hati & perasaan yang baik.
3. Tidak mementingkan upah melebihi tanggungjawab yang ada.
~ Wa Allahu a'lam.

♥ Al-Quran memang mu'jizat yang tidak pernah dapat diragukan. Bacalah...ツ.

Comments

Popular posts from this blog

Waktu Fadhilah Di Awal Waktu Solat

Sejarah Penduduk Asal Mekah Madinah

4 Zikir Mudah sepanjang Ramadhan