بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

ummumuhammadmenulis...

03 October 2010

Sayyidatina Khadijah Ratu Hatiku




Sayyidatina Khadijah Al-Kubra,
wanita hebat yang luar biasa, imannya kuat,
firasatnya tajam, akalnya cerdas, bijaknya sempurna, pandangannya luas,
azamnya tinggi, pilihannya tepat,
akhlaknya indah, jiwanya mantap,
tiada wanita yang dapat menandinginya,
dulu kini dan selamanya.

Wahai Sayyidatina Khadijah,
kerana akhlak yang ditunjukkan Nabi,
kerana amanahmu dijalankannya dengan terpuji ,
hatimu melihat Nabi saw umpama mutiara yang tersembunyi,
lantas engkau menempatkannya
di dalam hatimu yang paling dalam
dan di tempat yang paling tinggi.

Allaaah,
engkau dimuliakan Allah kerana dipilih berkongsi kehidupan dengan insan agung pilihan Tuhan.
Cinta, kasih & kejujuran yang engkau tunjukkan tiada tandingan,
khidmatmu penuh keikhlasan,
ketika senang engkau tunjukkan dengan kesyukuran,
ketika susah engkau warnai dengan kesabaran,
ketiadaanmu tidak pernah dilupakan,
ingatan Rasul saw kepadamu tidak dapat dilukiskan dalam apa jua gambaran,
dan tidak juga bisa dengan segala kata ucapan,
ia punya makna yang cukup dalam,
sukar untuk ditafsirkan. Allahu Allah.

Engkau wanita pertama yang menyaksikan Muhammad saw diutuskan sebagai
utusan agung Tuhan,
memberi sokongan kepada usaha dakwah Baginda saw dengan harta,
jiwa, nyawa dan seluruh kehidupan.
Sungguh tiada lagi wanita sepertimu di dunia ini untuk dimisalkan.

Dari rahimmu yang mulia lahirnya
Qasim, Abdullah,
Zainab, Ruqayyah,
Ummu Kalthum dan Fathimah,
zuriat keturunan hingga akhir zaman,
membawa rahmat di bumi Tuhan.

Peribadimu yang luhur,
ikhlas dan penuh kasih sayang,
menjadi ikutan
bagi insan yang mencari Tuhan,
bertemu denganmu menjadi impian,
semoga impian ini menjadi kenyataan,
amin ya Rabbal a'lamiin.


اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وسيدتنا خديجة وعلى آله وصحبه وسلم


Tercipta ilham melalui pembacaan kitab hadiah dari seorang kawan:

' البشرى في مناقب السيرة خديجة الكبرى للسيد محمد بن علوي المالكي الحسني

25 Zulhijjah 1431, 02 Oktober 2010
11.25 pm, Selasa di Sirajul Munir.