Jom Pakat Jadi Ahli Allah

َعَنْ أَنَسِ بنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ للهِ أَهْلِيْنَ مِنَ النَّاسِ. قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ هُمْ؟ قَالَ: أَهْلُ القُرْآنِ هُمْ أَهْلُ اللهِ وَخَاصَّتُهُ. رواه النسائي

Dari Anas bin Malik ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mempunyai ahli-ahli dari kalangan manusia.’ Para sahabat bertanya: ‘Siapakah mereka ya Rasulullah?.’ Baginda saw menjawab: ‘Mereka ialah ahli al Quran, mereka itulah yang merupakan ahli-ahli Allah dan orang-orang-Nya yang istimewa. (Hadith riwayat An Nasai)

Fadhilat amal:
Berdasarkan kepada hadith di atas jelas memberitahu kepada kita bahawa bergelar ahli quran itu merupakan ni’mat yang amat besar. Dengan mendapat gelaran ini, seseorang itu telah menjadi ahli-ahli Allah dan manusia yang istimewa di sisi-Nya.

Apakah maksud bagi gelaran ‘ahli al Quran’?

Ahli al Quran ialah mereka yang sentiasa sibuk membaca al Quran dan mempunyai hubungan yang istimewa dengannya. Telah nyata lagi bersuluh, apabila seseorang itu sentiasa menyibukkan lidahnya dengan membaca kalam Allah yang mulia ini maka kasih sayang Allah juga pasti tertumpu kepadanya. Betapa besarnya fadhilat ini, hanya dengan usaha dan susah payah yang sedikit dia telah menjadi ahli Allah dan mendapat kemuliaan sebagai orang istimewa-Nya. Allahu Allah.

Cuba kita lihat kepada konsep kehidupan di dunia ini. Jika seseorang itu mendapat gelaran seperti tan sri, toh puan, dato’, datin, prof, doktor falsafah dan lain-lain, ini menunjukkan bahawa dia merupakan insan istimewa di dalam masyarakat. Dia akan dipandang mulia. Sebagai contoh: Jika dia dijemput untuk menjadi ahli panel bagi sebuah majlis, maka bayaran serta layanan untuknya sudah tentu berbeza dengan mereka yang tidak punya apa-apa gelaran mahupun pangkat. Ini realitinya.

Untuk mendapat gelaran seperti di atas, ia memerlukan usaha yang besar dan payah, namun demikian manusia tetap berlumba-lumba untuk mencapainya kerana itu ukuran 'mulia' di mata dunia. Berbeza pula dengan ukuran 'mulia' di sisi Allah. Mereka yang mendapat kemuliaan dan keistimewaan di sisi-Nya ialah ahli al Quran, walaupun ketika hidupnya di dunia dia tidak punyai apa-apa gelaran.

Oleh itu, sama-sama kita insafi dan bangkit berusaha untuk mendapat status yang amat mulia ini. Ia bukan tawaran daripada insan biasa, bukan juga daripada raja atau pemimpin dunia. Tapi ia adalah tawaran lumayan daripada Yang Maha Berkuasa, Raja segala raja. Zikir dan fikirkanlah…

Comments

Popular posts from this blog

Waktu Fadhilah Di Awal Waktu Solat

Sejarah Penduduk Asal Mekah Madinah

4 Zikir Mudah sepanjang Ramadhan