بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

ummumuhammadmenulis...

29 March 2010

Makan dan Diet Cara Sunnah

Saya membuat sedikit kajian tentang makan dan diet yang berkesan, sihat dan tidak perlu berbelanja lebih. Banyak juga saya temui cara dan info ilmiah berkenaan perkara ini. Namun demikian, saya lebih tertarik cara sunnah yang ditinggalkan oleh Rasul saw. Ia ringkas tapi ilmiah. Hasil daripada kajian tersebut dapatlah saya merumuskannya seperti berikut.

1. Aturkan cara pemakanan.

a) Sarapan: Makan makanan yang berkalori tinggi iaitu makanan yang membekalkan tenaga bagi melakukan aktiviti harian.

b) Makan tengah hari: Kurangkan kuantiti makanan yang dimakan dan imbangkannya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

c) Makan malam: Kurangkan kuantiti makanan yang dimakan. Makan malam penting kerana ia akan melambatkan proses penuaan dan dapat menghasilkan tidur yang nyenyak. Rasul saw menganjurkan makan malam walaupun dengan hanya sebiji kurma.

2. Ikut saranan Rasul saw.
a) Mempelbagaikan jenis makanan yang bersifat panas dan sejuk. Sebagai contoh: Buah rutob dan tembikai. Rasul saw pernah menyejukkan makanan yang panas iaitu rutob dengan makanan yang sejuk iaitu tembikai. Dan begitulah sebaliknya.

b) Sebelum makan hendaklah membaca Bismillah. Ini kerana makanan yang kita makan bukan sekadar mengandungi nutrien yang kita perlukan, bahkan terdapat juga toksid dan kuman yang tidak diketahui. Jadi sebelum makan, hendaklah kita mulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang.

c) Makan jangan berlebihan. 'Berhenti Sebelum Kenyang' itu amat baik untuk dijadikan panduan ketika makan;-)

d) Membahagikan perut kepada 3 bahagian. 1/3 bagi makanan, 1/3 bagi minuman dan 1/3 bagi pernafasan.

3. Tidak perlu berpantang untuk menurunkan berat badan.
Berat badan dapat diturunkan dengan memastikan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak berlebihan, bukan dengan cara berpantang. Ini dijelaskan Rasul saw di dalam sabdaannya yang bermaksud: 'Makan, minum, berpakaian dan bersedekahlah kamu dalam batas yang wajar dan jangan berlebihan'. Ini merupakan rahsia sihat yang mudah tapi amat bermanfaat.

4. Bersenam waktu petang.
Senaman digalakkan pada waktu petang kerana ia memiliki nilai aerobik yang besar hingga dapat membakar lemak. Walaubagaimanapun, bersenamlah secara bertahap.

5. Menjaga komposisi makanan.
Menjaga komposisi makanan itu penting. Ahli pemakanan menyatakan komposisi makanan yang baik terdiri daripada 50 peratus bijian seperti beras, kacang dan gandum, 30 peratus sayur-sayuran dan buah-buahan serta 20 peratus protein daripada daging ataupun ikan. Komposisi ini baik bagi pencernaan dan memenuhi keperluan gizi seimbang. Perhatikan cara Rasul saw mengawal pemakanannya.


Info tambahan:

- Asas teori diet terbaik adalah makan makanan halal, baik, cukupkan kuantiti dan susunlah diet supaya tiada makanan yang mendominasikan diet kita.

- Di dalam buku Smart Healing oleh Dr. Mohammad Ali Thoha, dijelaskan terdapat makanan yang bersifat panas dan sejuk. Ciri-ciri makanan sejuk adalah:
1. Mentah
2. Tidak mempunyai rasa ataupun manis sedikit
3. Masam
4. Berair
5. Pucat warnanya
6. Bertekstur lembut
- Memakan timun ataupun tembikai dengan makanan panas seperti kurma, daging kambing dan rempah dapat menenangkan pencernaan dan memelihara keseimbangan suhu badan.

- Makanan berkanji diperlukan sebagai bahan yang membekalkan sumber tenaga. Sayur-sayuran dan buah-buahan pula membekalkan vitamin, mineral dan serat. Manakala makanan berprotein dapat mengekalkan dan memperbaiki tisu tubuh yang rosak. Dilengkapkan dengan pengambilan air 6 hingga 8 gelas sehari. Air yang banyak diperlukan untuk membuang sisa-sisa dan racun dari badan.

17 March 2010

Makanan Berkhasiat Warga Tua Sihat

Makan perlu dengan bijak. Untuk terus sihat kita perlu amalkan tabiat makan yang baik. Ini akan mengurangkan kemungkinan untuk mendapat penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes.

Di sini saya mahu berkongsi tentang cadangan pemakanan yang baik bagi warga tua. Cadangan ini disediakan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Walaupun kita masih lagi muda, namun kita juga akan menempuhi zaman emas ini jika dipanjangkan usia.

Badan sihat otak cerdas, Allah pun suka. Dengan kesihatan yang baik, maka ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Oleh itu, mudah-mudahan tip ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama.

Contoh sajian sehari untuk warga tua sihat:

1. Sarapan: 1 cawan bubur nasi, 1 cawan sudu makan ikan bilis tumbuk dan 1/2 cawan minuman bersusu.

2. Minum pagi: 1 keping roti mil penuh, 1 sudu teh jem, 1 biji pisang dan 1 cawan minuman bersusu.

3. Makan tengahari: 1 cawan nasi, 1 ketul ayam masak kari, 1/2 cawan sayur bayam, 1 biji limau manis dan air kosong.

4. Minum petang: 1 keping kuih, 1 biji pisang dan 1 cawan teh O.

5. Makan malam: 1 cawan nasi, 1 keping ikan tenggiri masak asam pedas, 1 cawan sup sawi campur tauhu, 1 potong betik dan air kosong.

6. Minum malam: 2 keping biskut krim kraker dan 1 cawan minuman bersusu.

Apabila usia semakin meningkat, maka tulang kita akan cenderung menjadi reput. Oleh itu, untuk mengelakkan masalah ini, ambillah makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu rendah lemak, ikan sardin, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayur-sayuran yang berdaun hijau.

Ini antara contoh makanan berkhasiat untuk warga tua sihat. Pandai-pandailah kita mengkiaskan untuk menghasilkan contoh-contoh makanan berkhasiat yang lain;-) Selamat berkreatif..

14 March 2010

Hidup Sihat Tanpa Ubat

Langkah-langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:-
  1. Meminum air sekurang-kurangnya 30 mililiter per kilogram berat badan anda. Air amat penting untuk badan .
Allah berfirman yang bermaksud: ‘Aku jadikan setiap sesuatu yang hidup itu daripada air.’ (Al-Anbiya’: 30). Kajian mendapati air adalah komponen terbesar dalam semua makhluk yang hidup. Manusia sendiri dibentuk oleh 70 peratus air.
  1. Mencontohi cara minum Rasul saw. Caranya ialah minum secara bertahap. Manfaat utama minum secara bertahap dan perlahan-lahan adalah penyerapan air menjadi bertambah baik.
  2. Pastikan anda mendapat gizi seimbang iaitu menggabungkan karbohidrat, lemak, protein, sayur- sayuran, buah-buahan dan susu. Ini kerana pemakanan seimbang merupakan asas kesihatan.
  3. Jangan makan sehingga kenyang. Ini sama seperti apa yang telah diajarkan oleh Rasul saw iaitu bangun sebelum kenyang.
  4. Jangan tinggalkan makan malam. Nabi saw bersabda: ‘Jangan tinggalkan makan malam. Nanti engkau cepat tua.’ Sebaik-baiknya makan 2 jam sebelum tidur. Kepada mereka yang diet ambillah keberkatan makan malam walaupun dengan sebiji kurma. Boleh juga diganti dengan sayur-sayuran ataupun buah-buahan.
  5. Solat sebelum tidur membantu pencernaan dan mencegah penggumpalan makanan di dalam perut yang mengakibatkan serangan jantung.
Sama-sama mencuba dan mengamalkannya, InsyaAllah ;-)
  • Hasil pembacaan dari buku ‘365 gaya hidup sihat Rasulullah saw’ oleh Dr.Mohammad Ali Thoha.

08 March 2010

Jom Pakat Jadi Ahli Allah

َعَنْ أَنَسِ بنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ للهِ أَهْلِيْنَ مِنَ النَّاسِ. قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ هُمْ؟ قَالَ: أَهْلُ القُرْآنِ هُمْ أَهْلُ اللهِ وَخَاصَّتُهُ. رواه النسائي

Dari Anas bin Malik ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mempunyai ahli-ahli dari kalangan manusia.’ Para sahabat bertanya: ‘Siapakah mereka ya Rasulullah?.’ Baginda saw menjawab: ‘Mereka ialah ahli al Quran, mereka itulah yang merupakan ahli-ahli Allah dan orang-orang-Nya yang istimewa. (Hadith riwayat An Nasai)

Fadhilat amal:
Berdasarkan kepada hadith di atas jelas memberitahu kepada kita bahawa bergelar ahli quran itu merupakan ni’mat yang amat besar. Dengan mendapat gelaran ini, seseorang itu telah menjadi ahli-ahli Allah dan manusia yang istimewa di sisi-Nya.

Apakah maksud bagi gelaran ‘ahli al Quran’?

Ahli al Quran ialah mereka yang sentiasa sibuk membaca al Quran dan mempunyai hubungan yang istimewa dengannya. Telah nyata lagi bersuluh, apabila seseorang itu sentiasa menyibukkan lidahnya dengan membaca kalam Allah yang mulia ini maka kasih sayang Allah juga pasti tertumpu kepadanya. Betapa besarnya fadhilat ini, hanya dengan usaha dan susah payah yang sedikit dia telah menjadi ahli Allah dan mendapat kemuliaan sebagai orang istimewa-Nya. Allahu Allah.

Cuba kita lihat kepada konsep kehidupan di dunia ini. Jika seseorang itu mendapat gelaran seperti tan sri, toh puan, dato’, datin, prof, doktor falsafah dan lain-lain, ini menunjukkan bahawa dia merupakan insan istimewa di dalam masyarakat. Dia akan dipandang mulia. Sebagai contoh: Jika dia dijemput untuk menjadi ahli panel bagi sebuah majlis, maka bayaran serta layanan untuknya sudah tentu berbeza dengan mereka yang tidak punya apa-apa gelaran mahupun pangkat. Ini realitinya.

Untuk mendapat gelaran seperti di atas, ia memerlukan usaha yang besar dan payah, namun demikian manusia tetap berlumba-lumba untuk mencapainya kerana itu ukuran 'mulia' di mata dunia. Berbeza pula dengan ukuran 'mulia' di sisi Allah. Mereka yang mendapat kemuliaan dan keistimewaan di sisi-Nya ialah ahli al Quran, walaupun ketika hidupnya di dunia dia tidak punyai apa-apa gelaran.

Oleh itu, sama-sama kita insafi dan bangkit berusaha untuk mendapat status yang amat mulia ini. Ia bukan tawaran daripada insan biasa, bukan juga daripada raja atau pemimpin dunia. Tapi ia adalah tawaran lumayan daripada Yang Maha Berkuasa, Raja segala raja. Zikir dan fikirkanlah…

07 March 2010

Berblog; Langkah pertama belajar menulis dan berkongsi ilmu

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Salam perkenalan

Saya dengan rendah diri memperkenalkan blog saya yang amat sederhana ini. Saya akur bahawa saya bukan penulis terkenal, tidak juga bijak bermain kata-kata sehingga mampu menarik perhatian pembaca. Namun di atas kesedaran dan kebimbangan terhadap perihal bekalan hidup saya selepas mati, maka saya gagahkan diri ini mewujudkan blog sebagai medan dakwah saya di alam maya. Saya mengharapkan agar perkongsian ilmu sedikit dari saya ini dapat memberi manfaat kepada umat yang dicintai Rasul saw ini.

Bak kata hukama': 'Jika kamu tidak mampu melakukan semua perkara, maka jangan dibiarkan semuanya'. Kalau diikutkan rasa terhutang budinya saya kepada Rasul saw yang membawa Islam ini, sudah tentu usaha ini amatlah kecil dan sedikit. Walaupun demikian, bak kata tadi kalau saya hanya mampu melakukan ini sebagai tanda cinta dan terima kasih saya kepada Rasul saw maka saya akan lakukan ia dengan bersungguh-sungguh InsyaAllah amin.

Saya akan cuba berkongsi ilmu yang saya peroleh dari sistem 'zikir fikir' melalui pembelajaran talaqqi, usrah, seminar, pembacaan buku-buku dan lain-lain. InsyaAllah saya akan cuba mengajak diri ini, keluarga, sahabat-sahabat, teman-teman dan semua saudara seIslam ke arah menjelmakan kebesaran Allah di dalam diri kita sehingga kita sanggup berkorban apa sahaja demi Allah Yang Maha Penyayang dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapat cinta dan syafaat Rasulullah saw.

Proses dakwah ini berpaksikan konsep " Aslih nafsak wad u' ghairak " - mafhumya: 'Hendaklah kamu mengislahkan diri kamu; memperbaiki diri untuk mendapat keredhaan Allah, dan dalam masa yang sama menyeru orang lain juga untuk pengislahan'. Oleh itu, saya hanya insan biasa yang banyak kekurangannya. Lihatlah kepada apa yang saya kongsikan, bukan dinilai isi mengikut saya yang menyampaikan. 'Siiru a'la barakatiLLAh' ;-)