بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

ummumuhammadmenulis...

09 December 2010


"Jagalah batinmu dengan merasakan kehadiran Allah, dan jagalah lahirmu dengan mengikuti sunnah (Rasulullah s.a.w.)."

"Kebaikan itu adalah dalam menghadap kepada-Nya, dan keburukan itu adalah kerana berpaling dari-Nya. Setiap amal yang kamu harapkan upahnya adalah untukmu, dan setiap amal yang dilakukan kerana Dia bererti untuk-Nya. Jika kamu beramal dan meminta ganti, maka balasannya adalah makhluk. Jika kamu beramal untuk mencari redha Allah swt., balasannya adalah kedekatanmu dengan-Nya dan memandang kepada-Nya, kemudian kamu tidak akan meminta ganti atas semua amalmu. Apalah ertinya dunia, akhirat, dan segala sesuatu selain Dia, jika dibandingkan dengan Dia?"

[Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani]

28 November 2010

Orang Yang Bahagia


"Orang yang bahagia adalah orang yang Allah anugerahi kalbu yang berfikir, mata yang selalu mengambil pelajaran, telinga yang mendengar dari Allah, dan diri yang bersemangat mengabdi kepada Allah. Di antara hak Allah yang paling layak diperhatikan oleh hamba adalah syukur kepada-Nya, secara lahir mahupun batin. Secara lahir dengan mematuhi-Nya dan secara batin dengan menyaksikan nikmat dari-Nya. Belum bersyukur orang yang tidak melaksanakan perintah dan batas-batas-Nya. Tidak disebut menjaga-Nya orang yang menyia-nyiakan perjanjian dengan-Nya. Kerana itu, kamu harus mensyukuri semua nikmat-Nya atas diri kamu."

Al-Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.

27 November 2010

Menyingkap 'Rahsia' Takbir 2 Hari Raya- Part 2

لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون

(Tiada tuhan melainkan Allah. Kami tidak melakukan ibadah kecuali kepada-Nya. Kami ikhlas (melakukan segala perintah) demi Allah dan agama-Nya, walaupun ditentang oleh kaum kafirun)

- Rahsia kejayaan yang tersirat di sebalik kalimah ini:

1. Kekuatan tauhid yang tiada tandingannya.

2. Pengakuan ubudiyyah yang terpancar dari hati yang ikhlas dan benar dalam mencari Tuhan.

3. Semua yang dilakukan dalam hidupnya di dunia hanya semata2 untuk kepentingan agamanya.

4. Tidak gentar malah punyai jiwa berani yang luarbiasa walaupun mendapat tentangan dari pihak musuh. Moto hidup hanya ; عش عزيزا أو مت شهيدا – ‘Hidup dalam kemuliaan atau mati sebagai syahid demi merebut cinta dan redha Tuhan Yang Maha Penyayang’. Allaaah.

5. 3 elemen terbesar yang diperlukan manusia untuk ‘menang’ dalam hidupnya:

-Tauhid yang jitu : Bahawa tiada tuhan melainkan Allah.

-Feqh yang mantap : Beribadat kepada Allah mengikut apa yang diajar Nabi-Nya Muhammad saw.

-Tasauf yang dalam : Ikhlas, jujur dan berani modal yang besar untuk jadi umat yang gemilang. Merasai bahawa Allah bersama2nya. Khauf dan raja’ akan terbentuk.

= 3 faktor ini iaitu beriman dgn aqidah yang benar, beramal dengan syariat yang betul dan merasai kebersamaan Allah dalam segala gerak akan membimbing seseorang itu menuju kecemerlangan dunia akhirat, mampu untuk menakluk dunia, dibuka futuh; memahami rahsia2 Ketuhanan dan dianugerahkan jiwa yang lapang seluas lautan. Allaaah, inilah ‘bahagia’ yang dicari manusia.

Kemantapan umat di zaman Rasul saw serta generasi yang mencontohi mereke kerana 3 unsur ini;

1- Punya ilmu yang luas apabila beriman bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Pengetahuan ini yang akan membuatkan manusia itu dikejar kejayaan demi kejayaan dan membuahkan tawakkal yang tinggi.

2- Ikhlas dalam mencari Allah maka Allah akan buka dan permudahkan perjalanannya untuk datang bertemu dengan-Nya. Allaaah, indahnya perjalanan ini. Bantu kami ya Allah.

3- Tak kenal erti putus asa dan berani. Ya, mu’min mesti berani, berani dan berani. Rahsia umat yang menakluk dunia. Berani takkan membuatkan mereka berundur. Mereka berani kerana yaqin bahawa Allah itu Tuhan sekalian alam. Allahu akbar.

لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده

(Tiada tuhan melainkan Allah. Dia Esa. Dia membenarkan apa yang dijanjikan-Nya, memberi pertolongan kepada hamba-Nya, memperkasakan tentera-Nya dan menghancurkan tentera Ahzab hanya dengan keesaan-Nya)

- Menggambarkan kehebatan dan keagungan Allah. Diulang lagi kalimah tauhid. Kerana peristiwa atau apa yang berlaku di dalam kehidupan di mana apabila ia melebihi had pemikiran manusia, maka ia hanya dapat diterima kebenarannya dengan kuasa iman, tidak lagi kuasa akal kerana kapasiti akal amat terbatas.

- Allah memberitahu bahawa:

1. Dia membenarkan janji-Nya. Ia merupakan berita gembira dan sokongan yang amat luarbiasa kepada jiwa yang sedang lemah agar yaqin bahawa ganjaran yang dijanjikan kepada setiap yang berjuang untuk agama-Nya akan dibalas. Dalam masa yang sama herdikan kepada kaum yang menentang bahawa balasan buruk menanti mereka.

2. Dia memberi pertolongan. Allaaah, tidakkah kita merasa hebat jika mendapat jaminan pertolongan daripada Raja segala raja??? Allah berfirman: ‘Jika kamu menolong agama Allah nescaya Allah akan menolong kamu’. - Surah : .

3. Meninggikan kedudukan tentera-Nya. Mendapat kemulian dan kepujian manusia pun sudah membuatkan kita tersenyum dan rasa dihargai, apatah lagi jika kemuliaan itu dianugerahkan Allah. So, carilah Allah dan rebutlah anugerah kemuliaan yang hanya datang daripada-Nya.

4. Menghancurkan musuh. Dia mampu melakukan apa sahaja. Menghancurkan orang yang menentang-Nya hanya dengan kekuasaan-Nya tanpa mengambil sebab dan musabbab.

Kesimpulan;

Pemantapan Ilmu Fardhu Ain iaitu ilmu Tauhid, Feqh dan Tasauf seharusnya diambil cakna yang serius oleh masyarakat hari ini jika mahu berjaya, menang dan bahagia di samping pengtahsinan dengan ilmu Fardhu Kifayah. Konsep (1) ilmu dan yaqin, (2) ikhlas, (3) berani dan tidak kenal putus asa serta (4) tawakkal yang tinggi merupakan rahsia mencipta kejayaan yang cemerlang. Bukan sekadar cemerlang mencipta nama di dunia semata2 bahkan berjaya menempah tempat di Syurga Firdaus di akhirat sana. Allaaah.

Sekarang tanya diri dengan soalan2 ini:

1. Apakah mazhab Tauhid anda? _________________________

2. Apakah mazhab Feqh anda?___________________________

3. Apakah mazhab Tasauf anda?_________________________

Jika soalan2 ini masih belum dapat dipenuhi, maka janganlah kamu berhenti dari terus mencarinya.

Segala yang baik itu datang daripada Allah, segala yang buruk itu datang daripada diri saya yang banyak kekurangan ini. Jika catatan ini diterima sebagai sebahagian 'rahsia' yang ada dalam takbir raya, maka diharapkan dapat menyebarkannya. Sebarang kesalahan atau komen yang membina saya alu-alukan dengan hati yang terbuka insyaAllah. Sudah pasti ada kesalahan kerana apa yang tercatat ini hanya terhasil dari pemikiran saya yang cetek. Ia bukan hukum tapi hanya pencarian rahsia atau sirr di sebalik setiap kejadian yang Allah ciptakan. JazakumuLLAH khairal jaza'.

والله أعلم بالصواب

تقبل الله منا ومنكم

كل عام وأنتم طيبون

اللهم صل على سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

26 November 2010

Love is Eternel

"Love is eternal because love is the reason you were created. You were created to adore Allah. You were created to worship Allah, in other words, to love Him because you can't truly adore something or worship something that you don't love."

Shaykh Hamza Yusuf

25 November 2010

Menyingkap 'Rahsia' Takbir 2 Hari Raya- Part 1

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

(Allah Maha Besar)

- Menggerakkan minda dan seluruh jiwa manusia agar membesarkan Allah. Proses untuk menjiwai Allah Maha Besar itu memerlukan jalan mujahadah, muraqabah, muhasabah, mua’qabah dan istiqamah. Apabila sudah sebati dan benar2 faham maka jiwa kita akan berkata bahawa: ‘Hanya Allah Yang ada kuasa, makhluk tiada kuasa’. Jika demikian, mahukah lagi bertuhankan selain Allah???

لا إله إلا الله هو الله أكبر

(Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dia; Allah Maha Besar)

- Memantapkan tauhid. Tauhid sudah ada tapi perlu diperbaharui setiap masa dan saat selama hayat dikandung badan. Mengingatkan hamba2-Nya bahawa Dia bersifat dengan sifat Assomadiyyah; Istighna’ dan iftiqaar. Istighna’- Allah tidak berhajat kepada mana2 makhluk sekalipun. Manakala iftiqaar – Semua makhluk berhajat kepada-Nya.

ألله أكبر ولله الحمد

(Allah Maha Besar. Hanya milik Allah dikembalikan segala kepujian)

- Apabila si hamba sudah dapat mengecapi kuasa rasa bahawa Allah sahaja Yang Maha Besar, maka tiada lagi gentar dan bimbang kepada perkara2 yang waham/kesamaran bertapak di jiwa. Merasakan diri ada pembela dan Pembela itu Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Apabila ni’mat ini dapat dirasai, sayugialah kepujian itu akan kembali kepada Allah jua. Dia yang berhak dipuji. Hanya Dia tidak selain-Nya.

الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا

(Allah Maha Besar dengan sebenarnya. Segala puji hanya bagi Allah dengan pujian yang sebanyak2nya. Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang)

- Membesarkan Allah sebagai Khaliq dan mengecilkan manusia dan alam sebagai makhluk. Memuji Allah bukan sekadar bilangan yang tertentu sahaja bahkan lebih dan lebih. Semakin dalam cintanya kepada Allah yang dia dapat rasa maka semakin keraplah pujiannya buat Allah. Mentanzihkan Allah dari segala persamaan dengan makhluk. Tidak akan tercapai tauhid ditangga yang sebenar jika tanpa ada penyucian ini. Mustahil bertapak 2 cinta yang sama kedudukannya dalam satu jiwa. Maka lebihkanlah cintamu kepada yang Maha Suci Allah setiap masamu.

03 October 2010

Sayyidatina Khadijah Ratu Hatiku




Sayyidatina Khadijah Al-Kubra,
wanita hebat yang luar biasa, imannya kuat,
firasatnya tajam, akalnya cerdas, bijaknya sempurna, pandangannya luas,
azamnya tinggi, pilihannya tepat,
akhlaknya indah, jiwanya mantap,
tiada wanita yang dapat menandinginya,
dulu kini dan selamanya.

Wahai Sayyidatina Khadijah,
kerana akhlak yang ditunjukkan Nabi,
kerana amanahmu dijalankannya dengan terpuji ,
hatimu melihat Nabi saw umpama mutiara yang tersembunyi,
lantas engkau menempatkannya
di dalam hatimu yang paling dalam
dan di tempat yang paling tinggi.

Allaaah,
engkau dimuliakan Allah kerana dipilih berkongsi kehidupan dengan insan agung pilihan Tuhan.
Cinta, kasih & kejujuran yang engkau tunjukkan tiada tandingan,
khidmatmu penuh keikhlasan,
ketika senang engkau tunjukkan dengan kesyukuran,
ketika susah engkau warnai dengan kesabaran,
ketiadaanmu tidak pernah dilupakan,
ingatan Rasul saw kepadamu tidak dapat dilukiskan dalam apa jua gambaran,
dan tidak juga bisa dengan segala kata ucapan,
ia punya makna yang cukup dalam,
sukar untuk ditafsirkan. Allahu Allah.

Engkau wanita pertama yang menyaksikan Muhammad saw diutuskan sebagai
utusan agung Tuhan,
memberi sokongan kepada usaha dakwah Baginda saw dengan harta,
jiwa, nyawa dan seluruh kehidupan.
Sungguh tiada lagi wanita sepertimu di dunia ini untuk dimisalkan.

Dari rahimmu yang mulia lahirnya
Qasim, Abdullah,
Zainab, Ruqayyah,
Ummu Kalthum dan Fathimah,
zuriat keturunan hingga akhir zaman,
membawa rahmat di bumi Tuhan.

Peribadimu yang luhur,
ikhlas dan penuh kasih sayang,
menjadi ikutan
bagi insan yang mencari Tuhan,
bertemu denganmu menjadi impian,
semoga impian ini menjadi kenyataan,
amin ya Rabbal a'lamiin.


اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وسيدتنا خديجة وعلى آله وصحبه وسلم


Tercipta ilham melalui pembacaan kitab hadiah dari seorang kawan:

' البشرى في مناقب السيرة خديجة الكبرى للسيد محمد بن علوي المالكي الحسني

25 Zulhijjah 1431, 02 Oktober 2010
11.25 pm, Selasa di Sirajul Munir.

22 August 2010

Kuala Lumpur Berselawat 2

Nota 4: Rahsia Takbir 2 Hari Raya.


Syeikh Dr. Mahmoud memberitahu kepada kita bahawa takbir yang kita sering laungkan setiap kali 2 hari raya umat Islam itu berasal daripada ucapan Jibril as dan 2 orang nabi iaitu Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail alaihimassalam ketika pembinaan Kaa'bah. Ia adalah seperti berikut:

الله أكبر ألله أكبرالله أكبر
(Ini ucapan Sayyidina Jibril as)

الله أكبر ألله أكبرالله أكبر
لا إله إلا الله
(Ditambah tahlil oleh Sayyidina Ibrahim as)

الله أكبر ألله أكبرالله أكبر
لا إله إلا الله والله اكبر
الله أكبر
ولله الحمد
(Disudahkan oleh Sayyidina Ismail as dgn hamdalah)

Rasul saw mengekalkan ucapan puji-pujian demikian adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa mengambil tabarruk dengan perkara yang terpuji itu dibolehkan dan ia sebahagian daripada ajaran Islam.


Nota 5: Maqam bagi mereka yang suka berselawat.

Terdapat hadis yang menceritakan berkenaan pertanyaan Jibril as kepada Rasul saw beberapa perkara tentang soal agama. Antara yang ditanya ialah apa itu Islam, Iman dan Ihsan. Di sini menunjukkan bahawa terdapat 3 maqam bagi setiap kategori tersebut. Maqam ahli Islam, ahli Iman dan ahli Ihsan.

Apa yang saya faham dan dengar dari ceramah Syeikh Dr. Mahmoud ialah maqam bagi mereka yang suka berselawat kepada Rasul saw mencakupi ketiga2 kategori tersebut. Merekalah ahli Islam, ahli Iman dan ahli Ihsan.

Manakala mereka yang tidak suka berselawat atau sedikit sahaja nilai selawat ke atas Baginda saw itu hanya pada maqam ahli Islam. Dan maqam ini masih belum selamat kerana Rasul saw pernah memberi inzar tentang maqam ini yang berbolak balik statusnya pagi dan petang berdasarkan mafhum hadis yang berbunyi: 'Berpagi-pagi mereka itu Islam dan berpetang-petang mereka itu kafir'.

Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari status yang menakutkan ini dan memasukkan kita ke dalam kumpulan ahli Islam, ahli Iman dan ahli Ihsan yang suka berselawat ke atas Baginda saw sekaligus mengikuti sunnah dalam apa jua lapangan kehidupan kita ini amin.


Nota 6: Kisah Ibn Hajr Asqalani di tengah laut.


Di dalam perjalanan Ibn Hajr menaiki kapal menuju ke Mekah, beliau telah ditanya 2 soalan yang mencabar oleh Nabi Khidir as. Ibn Hajr tidak mempunyai jawapan bagi soalan tersebut, lantas meminta masa hingga keesokan harinya. Malam itu Ibn Hajr hanya berdoa kepada Allah dengan bertawassul kepada Rasul saw. Beliau berselawat sampai tertidur. Kemudian beliau bermimpi bertemu Rasul saw. Dan Baginda saw memberi jawapan kepadanya.

Soalan yang ditanya:
  1. Berapa lamakah tempoh iddah bagi seorang perempuan yang suaminya disumpah Allah menjadi batu?
  2. Berapa lamakah tempoh iddah bagi seorang perempuan yang suaminya disumpah Allah menjadi pokok?
Jawapannya:
  1. Iddahnya sama seperti kematian suami 4bulan 10hari.
  2. Iddahnya sama seperti dicerai hidup oleh si suami iaitu 3 quru' iaitu samada 3 kali haid atau 3 kali suci mengikut khilaf ulama'.
Allahu Allah, Ibn Hajr mendapat jawapan langsung daripada Rasul saw kerana kasih dan cintanya kepada Baginda saw. Dan ini adalah antara kelebihan berselawat.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله

21 August 2010

Kuala Lumpur Berselawat 1

Nota 1: Maksud Zikir dan Syukur dalam Surah Al-Baqarah : 152

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلَا تَكْفُرُوْنَ
Maksud ayat: Maka hendaklah kalian mengingati-Ku, nescaya Aku juga akan mengingati kalian, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kalian ingkar kepada-Ku.

Syeikh Dr. Mahmoud Marghlani (dari Madinah Al Munawwarah) menjelaskan bahawa اذْكُرُونِي itu bermaksud zikir dan ingat kepada Allah, manakala اشْكُرُواْ لِي pula ialah bersyukur di atas ni'mat anugerah Allah dengan mengutuskan Muhammad saw ke dunia ini.

- Oleh itu, kita perlu sedar bahawa datangnya Rasul saw kepada kita merupakan ni'mat yang diperintahkan Allah untuk kita mensyukurinya. Allahu Allah...

Nota 2: Nama Muhammad disebut 2 kali di dalam Al-Quran.

1. Surah Al-Ahzab: 40

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيماً
Maksud ayat: Bukanlah Muhammad itu merupakan bapa dari seseorang di antara kalian, akan tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
2. Surah Al-Fath: 29
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّآءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ
Maksud ayat: Muhammad itu utusan Allah, orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka.

Nota 3: Mimpi yang indah.

Saya amat teruja apabila Syeikh Dr. Mahmoud menceritakan perihal mimpi seorang alim dari Universiti Al Azhar Mesir. Orang alim itu telah menceritakan mimpinya itu di dalam bukunya (saya tak sempat mencatit tajuk buku tersebut).

Syeikh menceritakan bahawa orang alim itu telah bermimpi melihat Rasul saw di dalam satu majlis yang dihadiri oleh para auliya'. Di dalam majlis tersebut, tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki. Kehadiran lelaki itu membuatkan Rasul saw berdiri. Lantas lelaki itu datang dan bersalaman dengan Baginda saw. Dan Baginda saw mencium dahinya. Ini membuatkan beliau tertanya siapa lelaki ini dan apakah keistimewaannya sehingga diperlakukan Rasul saw dengan sebegitu rupa indahnya. Allahu Allah...

Syeikh menyambung ceritanya lagi. Melihat keadaan orang alim itu yang kehairanan, Rasul saw pun memperkenalkan kepadanya bahawa lelaki itu adalah Muhammad Soleh. Dia orang Maghribi. Dia seorang yang suka berselawat, suka mengajak orang lain agar sama-sama berselawat, orang yang kuat mempertahankan dan menjaga hadis-hadis Nabi dan orang yang kuat mendorong manusia agar menziarahi Baginda saw.

- Kerana itu semua dia dimuliakan oleh Rasul saw.


اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله

To be continued...

Majlis KL BERSELAWAT ini telah diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC pada hari Ahad 6 Syaaban 1431H bersamaan 18 Julai 2010.

15 August 2010

Cinta Yang Bisa Menerangkan Cinta...

"Pena selancarnya mentinta apa yang ia tahu, tapi apabila tiba pada menyatakan cinta; ia patah terbelah, kerana tidak mampu. Sekiranya perihal cinta itu jika ditulis beribu-ribu helai pun, tidak akan mampu menghuraikan cinta; kerana hanya Cinta yang bisa menerangkan cinta..."


 Maulana Jalaluddin Rumi

29 March 2010

Makan dan Diet Cara Sunnah

Saya membuat sedikit kajian tentang makan dan diet yang berkesan, sihat dan tidak perlu berbelanja lebih. Banyak juga saya temui cara dan info ilmiah berkenaan perkara ini. Namun demikian, saya lebih tertarik cara sunnah yang ditinggalkan oleh Rasul saw. Ia ringkas tapi ilmiah. Hasil daripada kajian tersebut dapatlah saya merumuskannya seperti berikut.

1. Aturkan cara pemakanan.

a) Sarapan: Makan makanan yang berkalori tinggi iaitu makanan yang membekalkan tenaga bagi melakukan aktiviti harian.

b) Makan tengah hari: Kurangkan kuantiti makanan yang dimakan dan imbangkannya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

c) Makan malam: Kurangkan kuantiti makanan yang dimakan. Makan malam penting kerana ia akan melambatkan proses penuaan dan dapat menghasilkan tidur yang nyenyak. Rasul saw menganjurkan makan malam walaupun dengan hanya sebiji kurma.

2. Ikut saranan Rasul saw.
a) Mempelbagaikan jenis makanan yang bersifat panas dan sejuk. Sebagai contoh: Buah rutob dan tembikai. Rasul saw pernah menyejukkan makanan yang panas iaitu rutob dengan makanan yang sejuk iaitu tembikai. Dan begitulah sebaliknya.

b) Sebelum makan hendaklah membaca Bismillah. Ini kerana makanan yang kita makan bukan sekadar mengandungi nutrien yang kita perlukan, bahkan terdapat juga toksid dan kuman yang tidak diketahui. Jadi sebelum makan, hendaklah kita mulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang.

c) Makan jangan berlebihan. 'Berhenti Sebelum Kenyang' itu amat baik untuk dijadikan panduan ketika makan;-)

d) Membahagikan perut kepada 3 bahagian. 1/3 bagi makanan, 1/3 bagi minuman dan 1/3 bagi pernafasan.

3. Tidak perlu berpantang untuk menurunkan berat badan.
Berat badan dapat diturunkan dengan memastikan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak berlebihan, bukan dengan cara berpantang. Ini dijelaskan Rasul saw di dalam sabdaannya yang bermaksud: 'Makan, minum, berpakaian dan bersedekahlah kamu dalam batas yang wajar dan jangan berlebihan'. Ini merupakan rahsia sihat yang mudah tapi amat bermanfaat.

4. Bersenam waktu petang.
Senaman digalakkan pada waktu petang kerana ia memiliki nilai aerobik yang besar hingga dapat membakar lemak. Walaubagaimanapun, bersenamlah secara bertahap.

5. Menjaga komposisi makanan.
Menjaga komposisi makanan itu penting. Ahli pemakanan menyatakan komposisi makanan yang baik terdiri daripada 50 peratus bijian seperti beras, kacang dan gandum, 30 peratus sayur-sayuran dan buah-buahan serta 20 peratus protein daripada daging ataupun ikan. Komposisi ini baik bagi pencernaan dan memenuhi keperluan gizi seimbang. Perhatikan cara Rasul saw mengawal pemakanannya.


Info tambahan:

- Asas teori diet terbaik adalah makan makanan halal, baik, cukupkan kuantiti dan susunlah diet supaya tiada makanan yang mendominasikan diet kita.

- Di dalam buku Smart Healing oleh Dr. Mohammad Ali Thoha, dijelaskan terdapat makanan yang bersifat panas dan sejuk. Ciri-ciri makanan sejuk adalah:
1. Mentah
2. Tidak mempunyai rasa ataupun manis sedikit
3. Masam
4. Berair
5. Pucat warnanya
6. Bertekstur lembut
- Memakan timun ataupun tembikai dengan makanan panas seperti kurma, daging kambing dan rempah dapat menenangkan pencernaan dan memelihara keseimbangan suhu badan.

- Makanan berkanji diperlukan sebagai bahan yang membekalkan sumber tenaga. Sayur-sayuran dan buah-buahan pula membekalkan vitamin, mineral dan serat. Manakala makanan berprotein dapat mengekalkan dan memperbaiki tisu tubuh yang rosak. Dilengkapkan dengan pengambilan air 6 hingga 8 gelas sehari. Air yang banyak diperlukan untuk membuang sisa-sisa dan racun dari badan.

17 March 2010

Makanan Berkhasiat Warga Tua Sihat

Makan perlu dengan bijak. Untuk terus sihat kita perlu amalkan tabiat makan yang baik. Ini akan mengurangkan kemungkinan untuk mendapat penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes.

Di sini saya mahu berkongsi tentang cadangan pemakanan yang baik bagi warga tua. Cadangan ini disediakan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Walaupun kita masih lagi muda, namun kita juga akan menempuhi zaman emas ini jika dipanjangkan usia.

Badan sihat otak cerdas, Allah pun suka. Dengan kesihatan yang baik, maka ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Oleh itu, mudah-mudahan tip ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama.

Contoh sajian sehari untuk warga tua sihat:

1. Sarapan: 1 cawan bubur nasi, 1 cawan sudu makan ikan bilis tumbuk dan 1/2 cawan minuman bersusu.

2. Minum pagi: 1 keping roti mil penuh, 1 sudu teh jem, 1 biji pisang dan 1 cawan minuman bersusu.

3. Makan tengahari: 1 cawan nasi, 1 ketul ayam masak kari, 1/2 cawan sayur bayam, 1 biji limau manis dan air kosong.

4. Minum petang: 1 keping kuih, 1 biji pisang dan 1 cawan teh O.

5. Makan malam: 1 cawan nasi, 1 keping ikan tenggiri masak asam pedas, 1 cawan sup sawi campur tauhu, 1 potong betik dan air kosong.

6. Minum malam: 2 keping biskut krim kraker dan 1 cawan minuman bersusu.

Apabila usia semakin meningkat, maka tulang kita akan cenderung menjadi reput. Oleh itu, untuk mengelakkan masalah ini, ambillah makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu rendah lemak, ikan sardin, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayur-sayuran yang berdaun hijau.

Ini antara contoh makanan berkhasiat untuk warga tua sihat. Pandai-pandailah kita mengkiaskan untuk menghasilkan contoh-contoh makanan berkhasiat yang lain;-) Selamat berkreatif..

14 March 2010

Hidup Sihat Tanpa Ubat

Langkah-langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:-
  1. Meminum air sekurang-kurangnya 30 mililiter per kilogram berat badan anda. Air amat penting untuk badan .
Allah berfirman yang bermaksud: ‘Aku jadikan setiap sesuatu yang hidup itu daripada air.’ (Al-Anbiya’: 30). Kajian mendapati air adalah komponen terbesar dalam semua makhluk yang hidup. Manusia sendiri dibentuk oleh 70 peratus air.
  1. Mencontohi cara minum Rasul saw. Caranya ialah minum secara bertahap. Manfaat utama minum secara bertahap dan perlahan-lahan adalah penyerapan air menjadi bertambah baik.
  2. Pastikan anda mendapat gizi seimbang iaitu menggabungkan karbohidrat, lemak, protein, sayur- sayuran, buah-buahan dan susu. Ini kerana pemakanan seimbang merupakan asas kesihatan.
  3. Jangan makan sehingga kenyang. Ini sama seperti apa yang telah diajarkan oleh Rasul saw iaitu bangun sebelum kenyang.
  4. Jangan tinggalkan makan malam. Nabi saw bersabda: ‘Jangan tinggalkan makan malam. Nanti engkau cepat tua.’ Sebaik-baiknya makan 2 jam sebelum tidur. Kepada mereka yang diet ambillah keberkatan makan malam walaupun dengan sebiji kurma. Boleh juga diganti dengan sayur-sayuran ataupun buah-buahan.
  5. Solat sebelum tidur membantu pencernaan dan mencegah penggumpalan makanan di dalam perut yang mengakibatkan serangan jantung.
Sama-sama mencuba dan mengamalkannya, InsyaAllah ;-)
  • Hasil pembacaan dari buku ‘365 gaya hidup sihat Rasulullah saw’ oleh Dr.Mohammad Ali Thoha.

08 March 2010

Jom Pakat Jadi Ahli Allah

َعَنْ أَنَسِ بنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ للهِ أَهْلِيْنَ مِنَ النَّاسِ. قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ هُمْ؟ قَالَ: أَهْلُ القُرْآنِ هُمْ أَهْلُ اللهِ وَخَاصَّتُهُ. رواه النسائي

Dari Anas bin Malik ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mempunyai ahli-ahli dari kalangan manusia.’ Para sahabat bertanya: ‘Siapakah mereka ya Rasulullah?.’ Baginda saw menjawab: ‘Mereka ialah ahli al Quran, mereka itulah yang merupakan ahli-ahli Allah dan orang-orang-Nya yang istimewa. (Hadith riwayat An Nasai)

Fadhilat amal:
Berdasarkan kepada hadith di atas jelas memberitahu kepada kita bahawa bergelar ahli quran itu merupakan ni’mat yang amat besar. Dengan mendapat gelaran ini, seseorang itu telah menjadi ahli-ahli Allah dan manusia yang istimewa di sisi-Nya.

Apakah maksud bagi gelaran ‘ahli al Quran’?

Ahli al Quran ialah mereka yang sentiasa sibuk membaca al Quran dan mempunyai hubungan yang istimewa dengannya. Telah nyata lagi bersuluh, apabila seseorang itu sentiasa menyibukkan lidahnya dengan membaca kalam Allah yang mulia ini maka kasih sayang Allah juga pasti tertumpu kepadanya. Betapa besarnya fadhilat ini, hanya dengan usaha dan susah payah yang sedikit dia telah menjadi ahli Allah dan mendapat kemuliaan sebagai orang istimewa-Nya. Allahu Allah.

Cuba kita lihat kepada konsep kehidupan di dunia ini. Jika seseorang itu mendapat gelaran seperti tan sri, toh puan, dato’, datin, prof, doktor falsafah dan lain-lain, ini menunjukkan bahawa dia merupakan insan istimewa di dalam masyarakat. Dia akan dipandang mulia. Sebagai contoh: Jika dia dijemput untuk menjadi ahli panel bagi sebuah majlis, maka bayaran serta layanan untuknya sudah tentu berbeza dengan mereka yang tidak punya apa-apa gelaran mahupun pangkat. Ini realitinya.

Untuk mendapat gelaran seperti di atas, ia memerlukan usaha yang besar dan payah, namun demikian manusia tetap berlumba-lumba untuk mencapainya kerana itu ukuran 'mulia' di mata dunia. Berbeza pula dengan ukuran 'mulia' di sisi Allah. Mereka yang mendapat kemuliaan dan keistimewaan di sisi-Nya ialah ahli al Quran, walaupun ketika hidupnya di dunia dia tidak punyai apa-apa gelaran.

Oleh itu, sama-sama kita insafi dan bangkit berusaha untuk mendapat status yang amat mulia ini. Ia bukan tawaran daripada insan biasa, bukan juga daripada raja atau pemimpin dunia. Tapi ia adalah tawaran lumayan daripada Yang Maha Berkuasa, Raja segala raja. Zikir dan fikirkanlah…

07 March 2010

Berblog; Langkah pertama belajar menulis dan berkongsi ilmu

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Salam perkenalan

Saya dengan rendah diri memperkenalkan blog saya yang amat sederhana ini. Saya akur bahawa saya bukan penulis terkenal, tidak juga bijak bermain kata-kata sehingga mampu menarik perhatian pembaca. Namun di atas kesedaran dan kebimbangan terhadap perihal bekalan hidup saya selepas mati, maka saya gagahkan diri ini mewujudkan blog sebagai medan dakwah saya di alam maya. Saya mengharapkan agar perkongsian ilmu sedikit dari saya ini dapat memberi manfaat kepada umat yang dicintai Rasul saw ini.

Bak kata hukama': 'Jika kamu tidak mampu melakukan semua perkara, maka jangan dibiarkan semuanya'. Kalau diikutkan rasa terhutang budinya saya kepada Rasul saw yang membawa Islam ini, sudah tentu usaha ini amatlah kecil dan sedikit. Walaupun demikian, bak kata tadi kalau saya hanya mampu melakukan ini sebagai tanda cinta dan terima kasih saya kepada Rasul saw maka saya akan lakukan ia dengan bersungguh-sungguh InsyaAllah amin.

Saya akan cuba berkongsi ilmu yang saya peroleh dari sistem 'zikir fikir' melalui pembelajaran talaqqi, usrah, seminar, pembacaan buku-buku dan lain-lain. InsyaAllah saya akan cuba mengajak diri ini, keluarga, sahabat-sahabat, teman-teman dan semua saudara seIslam ke arah menjelmakan kebesaran Allah di dalam diri kita sehingga kita sanggup berkorban apa sahaja demi Allah Yang Maha Penyayang dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapat cinta dan syafaat Rasulullah saw.

Proses dakwah ini berpaksikan konsep " Aslih nafsak wad u' ghairak " - mafhumya: 'Hendaklah kamu mengislahkan diri kamu; memperbaiki diri untuk mendapat keredhaan Allah, dan dalam masa yang sama menyeru orang lain juga untuk pengislahan'. Oleh itu, saya hanya insan biasa yang banyak kekurangannya. Lihatlah kepada apa yang saya kongsikan, bukan dinilai isi mengikut saya yang menyampaikan. 'Siiru a'la barakatiLLAh' ;-)